Tuesday, December 11, 2012

Beruntungnya kita!


Sedang enak mendengar Zikir Terapi Diri oleh Hafiz Hamidun, Nahid rakan sebilik saya sejak hampir empat bulan yang lalu menjengah kepala disebalik almari yang dijadikan penghadang setiap bilik atau kami menyebutnya sebagai compartment. “huda dear, boleh saya masuk?” nana meminta izin untuk masuk ke bilik saya. Sememangnya nana sangat gemar memanggil saya dengan menyebut ‘huda dear’ yang bermaksud ‘sayang huda’. Saya sangat selesa dengan kemesraan gadis dari Iran ini. Selalu saya mendengar cerita-cerita gadis arab kasar orangnya, tetapi saya tidak melihat sedikitpun kekasaran itu pada gadis ini. Bahkan dia sangat mengambil berat tentang rakan-rakan sebilik yang lain. “ya silakan dear nahid” saya mengizinkan. “adakah awak sedang belajar?” bimbang mengganggu mungkin. Saya sekadar menggeleng.



Dia duduk dibirai katil saya yang bercadar hijau. Sambil melihat ke arah saya seolah-olah dengan pandangan jauh. “saya rindukan ibu ayah saya..” saya yang mulanya menghadap laptop berpaling padanya. “kenapa tidak hubungi mereka?” “sekarang sudah lewat. Disana musim sejuk dan keluarga saya tidur awal” balas nahid perlahan. “awak boleh menghubungi mereka awal esok pagi, jangan bersedih sahabatku.”



Saya cuba mengalih topik agar dia tidak terus menerus merindukan keluarganya yang jauh di Iran. “selepas grad dari uia, apa perancangan awak?” difikiran saya mungkin dia akan pulang ke Iran dan memajukan teknologi disana sesuai dengan bidang kejuruteraannya disini. “tiada. Saya tidak tahu apa perlu saya lakukan” kening saya bertaut. “mengapa begitu?” soal saya tidak sabar. “kerana saya rakyat Afghanistan. Meskipun saya lahir, saya hidup di Iran, tetapi saya tetap berasal dari Afghanistan. Saya tidak boleh menjadi rakyat Iran, hingga untuk memasuki universiti disana pun saya tidak boleh.” Saya menghela nafas panjang.

Nahid meneruskan “mereka sangat perkauman. Semasa saya berusia enam tahun di tadika, saya sangat gembira apabila mendapat sijil sekolah. Tetapi saya tertanya-tanya mengapa warna sijil saya tidak sama dengan sijil kawan-kawan saya yang lain? Sejak itu saya tahu saya berbeza kerana saya dari Afghanistan.” Saya cuba menyelami perasaan seorang gadis kecil yang menarik-narik tangan guru bertanya mengapa sijil mereka berbeza. “ketika saya disekolah menengah, saya seorang pelajar yang cemerlang. Ramai yang ingin berkawan setelah saya selalu mendapat tempat pertama. Tetapi apabila mereka tahu saya dari Afghanistan, mereka mula menjauhkan diri. Mereka mengangkat rakyat Iran seolah-olah bangsawan dan kami rakyat Afghanistan seolah-olah hamba!” saya tersentak. Cuba menenangkan dia. “sabarlah awak.. saya turut bersedih dengan kisah awak ini.” Nahid pantas membalas, “jangan bersedih untuk kisah saya, sebenarnya semua ini menjadikan saya lebih kuat. Kerana itu saya sampai ke Malaysia. Apabila saya dihalang untuk menduduki peperiksaan ke universiti, saya terus memutuskan ingin ke Malaysia.”


Bagaimana awak tahu tentang Malaysia?” saya pula menyoal. Nahid tersenyum. “saya tahu dari sepupu saya. Tetapi sebelum itu ayah dan ibu saya berulang kali melarang. Saya tetap bertegas ingin ke Malaysia setelah kecewa disana. Sekarang barulah saya tahu mengapa ibu dan ayah melarang. Kerana sekali saya membuat keputusan belajar disini, saya tidak boleh lagi kembali berkerja atau belajar disana apatah lagi menetap disana.”

Saya cuba meletakkan diri saya di tempat nahid. Sangat perit apabila dia mencintai Iran seperti negaranya sendiri, dia memahami bahasa mereka dengan fasih sekali, mengetahui selok belok sosial, budaya, politik dan ekonomi Iran lebih dari Afghanistan, tetapi sayang dia hanya berhak sebagai pemerhati. Bukan sang yang memiliki taraf kerakyatan.

“mengapa tidak kembali ke Afghanistan?” soal saya spontan. “kehidupan keluarga saya sebelum kami berhijrah ke Iran lebih susah. Hingga kini saudara mara kami disana sentiasa berada dalam ketakutan. Gangsters berada dimana-mana. Setiap minggu pasti ada beberapa kes penduduk yang hilang diculik untuk dijual. Mahu lapor pada polis? Ah lupakan sahaja.. ketua gangsters itu sendiri dari keluarga pemimpin Negara.” Saya terdiam.

Kasihan benar gadis ini. “huda, saya tahu awak simpati pada saya. Tetapi saya yakin ada jalan untuk saya suatu hari nanti. Tugas saya sekarang belajar sebagusnya disini.” Katanya sambil menepuk perlahan peha saya. Saya tersenyum mengangguk mengiyakan. Nahid berdiri sambil mengeliat kecil. “sudah lama saya mengganggu awak, awak harus tidur sekarang. Terima kasih huda kerana mendengar kisah saya. Selamat malam.” Akhiri dia. “selamat malam nahid. Awak perempuan hebat.” Dia pergi dengan senyuman yang terselit seribu duka.

Apabila kita berasa susah.. percayalah ada berjuta lagi insan yang lebih susah dari kita.

Apabila rasa ingin mengeluh..percayalah betapa ramai lagi yang langsung tidak mempunyai ruang untuk mengeluh dek sempitnya hidup mereka.

B.E.R.S.Y.U.K.U.R itu lebih baik.

p/s: perbualan asal berlaku dalam bahasa Inggeris. :)




No comments:

Post a Comment